Era Mora di JDT Berakhir

Image of Era Mora di JDT Berakhir
Kuala Lumpur: Era Benjamin Mora di Johor Darul Ta'zim (JDT) akhirnya ternoktah apabila disahkan kedudukannya selaku pengendali pasukan itu berakhir.

Ia diumumkan secara rasmi di laman sosial milik JDT, dengan Mora meminta untuk dilepaskan secara tiba-tiba bagi menyelesaikan urusan keluarganya.

"Kelab JDT mengucapkan terima kasih kepada Benjamin Mora atas khidmat baktinya.

"Benjamin meminta untuk membenarkan beliau pulang ke Mexico bagi menyelesaikan urusan peribadi yang tidak dapat dielakkan dan JDT menghormati permintaan tersebut dan akan membiarkan pintu sentiasa terbuka untuk beliau kembali pada masa akan datang," kata kenyataan itu.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan JDT kemungkinan bakal menerima sentuhan jurulatih Argentina sekali lagi apabila dikhabarkan kedudukan Mora sebagai pengendali pasukan bakal berakhir.

Ia susulan beberapa masalah peribadi yang berlaku disebalik tabir sejurus tamatnya aksi dengan Sabah FC dalam aksi Liga Super menyaksikan Mora kemungkinan terpaksa digantikan dengan jurulatih baru.

Malah, ketiadaan Mora dalam dua aksi sebelum ini termasuk ketika menang ke atas Penang FC dan Melaka United dalam aksi suku akhir Piala FA seolah mengesahkan kedudukan jurulatih yang berasal dari Mexico itu.

Menurut sumber, pengganti Mora sudah berada di Johor Bharu dan bakal diumumkan pada bila-bila masa oleh juara lapan kali berturut-turut Liga Super itu.

Difahamkan, pelantikan itu perlu disegerakan bagi membolehkan pemain JDT tampil lebih bersedia menjelang aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Urawa Red dari Jepun pada peringkat 16 terbaik, 19 Ogos ini di Saitama.

Dalam kenyataan sama, JDT menganggap Mora antara jurulatih paling berjaya bersama skuad Harimau Selatan itu.

"Benjamin adalah jurulatih JDT yang paling berjaya dengan empat kejuaraan Liga Super Malaysia, empat Piala Sumbangsih, satu Piala Malaysia dan membawa JDT ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC tahun ini.

"Benjamin mengendalikan 148 perlawanan sepanjang dua kali tugasan sebagai jurulatih JDT sejak 2017, dan memenangi 102 perlawanan.

"Terima kasih, Benjamin. Anda akan selamanya menjadi sebahagian daripada Keluarga JDT. Jumpa lagi".

28th July, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved