Liga Malaysia Kini Liga Nombor Satu Asia Tenggara

Image of Liga Malaysia Kini Liga Nombor Satu Asia Tenggara
Kuala Lumpur: Kejayaan tiga kelab Liga Malaysia (Liga M) melepasi peringkat kumpulan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC meletakkan Liga M kini sebagai liga nombor satu Asia Tenggara.

Menerusi kemas kini terbaharu ranking MA oleh laman sesawang FootyRanking, Liga M kini menghimpun 45.510 mata untuk berada di tangga teratas rantau ini dengan Vietnam berada di belakang 43.905 mata diikuti Thailand (36.588 mata), Singapura (20.429 mata), Australia (17.143 mata) dan Indonesia (13.012 mata).

Kejayaan itu hasil sumbangan Joho Darul Ta'zim (JDT) yang muncul juara Kumpulan I sekaligus mara ke peringkat 16 terbaik bersama kelab-kelab gergasi Asia seperti dari Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi dalam saingan ACL musim ini.

Mata ranking Malaysia terus bertambah minggu ini apabila dua wakil negara yang beraksi di Piala AFC yang juga saingan kedua tertinggi Asia selepas ACL, melepasi peringkat kumpulan untuk mara ke separuh akhir Zon Asean.

Kedah Darul Aman FC berjaya menamatkan kedudukan selaku juara Kumpulan G, manakala Kuala Lumpur City FC pula naib juara terbaik daripada tiga kumpulan Piala AFC bagi Zon Asean itu.

Melalui kejayaan tiga pasukan Liga M itu, mata ranking kelab Malaysia melonjak tinggi dan kini berstatus 'Raja Asean' buat sementara waktu ini, sebelum kemungkinan ia akan berubah sebaik saingan pusingan kalah mati ACL dan Piala AFC bersambung Ogos ini.

Di peringkat Asia Timur pula, Liga M berada di tangga keempat terbaik di belakang Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong di mana Liga Super China jatuh teruk ke kedudukan ketujuh.

Di Asia pula, Malaysia di tangga kesembilan keseluruhan dengan Arab Saudi adalah raja benua ini dengan mata keseluruhan 100.000 mata.

4th July, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved