Sabah Lebur Rekod Kebal Negeri Sembilan, Rampas Tangga Kedua Liga Super

Image of Sabah Lebur Rekod Kebal Negeri Sembilan, Rampas Tangga Kedua Liga Super
Sabah memintas Negeri Sembilan untuk melonjak ke tangga kedua Liga Super menerusi jaringan tunggal Park Tae-su, malam semalam.

Tandukan pemain import dari Korea Selatan itu pada minit ke-62 secara tidak langsung meleburkan rekod kebal empat perlawanan penjaga gol tuan rumah, Syihan Azmi Mohamed.

Ia kemenangan ketujuh anak buah Datuk Ong Kim Swee itu selepas 10 perlawanan untuk mengekori rapat pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) -- yang berkongsi mata dengan Melaka United, malam tadi -- dengan satu mata tetapi juara lapan kali berturut-turut tersebut memiliki kelebihan satu perlawanan.

Kedua-dua pasukan memulakan permainan di Stadium Tunku Abdul Rahman itu dengan seimbang tetapi tercari-cari gerakan terbaik di bahagian terakhir lawan masing-masing.

Di sebalik Negeri Sembilan terlebih dahulu melancarkan serangan pada awal babak kedua, tetapi gawang mereka yang dirobek.

Begitupun, sebaik jaringan Tae-su yang terhasil melalui sepakan jauh pertahanan dari Brazil, Jackson de Souza, pelawat lebih selesa untuk mempertahankan kedudukan bagi mengekalkan kelebihan tipis yang dimiliki.

Sementara itu, Terengganu kembali mencipta tiga mata selepas dua perlawanan apabila menumbangkan Sri Pahang 2-1 di Sultan Mizan Zainal Abidin.

Skuad Peteh memanfaatkan dua kesilapan kelab di zon penyingkiran itu apabila meledak gol pada minit pertama perlawanan menerusi tolakan ketua pasukan, Kpah Sherman. Sri Pahang terus dihukum sepakan penalti apabila Shahrul Aizad Zulkifli dikesan menarik larian Faisal Halim untuk disempurnakan pemain kebangsaan itu sendiri pada minit ke-80.

Usaha lewat skuad Tok Gajah itu berakhir dengan gol sagu hati Malik Ariff ketika perlawanan bersisa tiga minit permainan, namun belum cukup menggugat kelebihan Terengganu.

4th July, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved