Bidoglio Lulus Ujian Pertama

Image of Bidoglio Lulus Ujian Pertama
ISKANDAR PUTERI: Pengendali baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio lulus ujian pertama selepas membimbing pasukan itu membelasah Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 5-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, skuad Harimau Selatan mengukuhkan lagi cengkaman di persada liga apabila mengumpul 35 mata selain masih ampuh dengan rekod tanpa kalah dan menjarakkan mata dengan pencabar terdekat, Sabah FC yang kekal di tangga kedua.

Pada perlawanan itu, skuad Harimau Selatan tampak melakukan rombakan kecil dalam kesebelasan utama apabila tidak menurunkan Matthew Davies yang mengalami kecederaan dan posisi bek kanan diambil alih Adam Nor Azlin.

Tindakan Giancarlo Gallifuoco yang mengasari Fernando Forestieri di dalam kotak penalti membawa padah selepas pengadil perlawanan, Mohd Fusser Mad Salleh tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Tugas mengambil sepakan penalti pada minit ketujuh itu mudah disempurnakan Bergson Da Silva yang merembat bola leret tepat ke penjuru kiri gol menewaskan penjaga gol, Kevin Mendoza.

Tersentak dengan gol awal itu, skuad kendalian Bojan Hodak mula memberi tekanan apabila bola sepakan percuma Akram Mahinan menyaksikan Jordan Mintah sempat menampan bola tetapi tindakan pantas penjaga gol, Farizal Marlias menyelamatkan bola daripada dibolosi.

Tuan rumah yang jelas menguasai permainan tidak mudah tertekan dengan asakan KL City FC apabila menyentap semangat melawan pasukan pelawat itu menerusi gol kedua peribadi Bergson yang mudah menewaskan Mendoza pada minit ke-25 hasil bola umpanan Corbin Ong.

Bersambung babak kedua, anak didik Bidoglio tidak menunggu lama untuk menambah derita KL City FC apabila dihadiahkan sepakan penalti kedua pada perlawanan itu selepas Muhammad Anwar Ibrahim menjatuhkan Arif Aiman Hanapi di dalam kotak penalti.

Gol ketiga menerusi sepakan penalti pada minit ke-54 dihasilkan Leandro Velazquez yang merembat bola kencang tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Mendoza.

Ternyata KL City FC gagal menyaingi kehebatan JDT apabila merelakan gol keempat tuan rumah selepas gerakan menarik satu dua Forestieri dan Velazquez yang kembali mengumpan bola kepada bekas pemain kelab Udinese itu menolak bola menewaskan Mendoza untuk meletakkan kedudukan 4-0 memihak anak didik Bidoglio.

Pemain gantian, Safawi Rasid yang sekian lama tidak menjaringkan gol akhirnya kembali menemui sentuhan penyudah apabila bola rembatan deras dari jarak 25 meter pada minit ke-84 hasil umpanan Nathaniel Shio tepat ke penjuru kanan gol menewaskan Mendoza dan kedudukan 5-0 memihak JDT kekal sehingga tamat perlawanan.

1st August, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved