JDT Patut Beraksi Dengan 10 Pemain - Subkhiddin

Image of JDT Patut Beraksi Dengan 10 Pemain - Subkhiddin
KUALA LUMPUR: Aksi Liga Super antara Terengganu FC (TFC) menentang pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi mencuri tumpuan penyokong bola sepak susulan insiden minit ke-75 yang berlaku dalam perlawanan terbabit.

Insiden itu menyaksikan pemain TFC, Syafik Ismail cuba mengejar bola namun mendapat terjahan yang disifatkan berbahaya daripada pemain JDT, Hong Wan sehingga menyebabkan Syafik melambung.

Pengadil, Mohd Hasrol Mohd Amir menghentikan perlawanan namun tidak melayangkan sebarang kad kepada Hong Wan yang ketika itu sudahpun memiliki kad kuning.

Keputusan itu jelas menimbulkan perdebatan dan ketika penyokong bertanyakan mengenai insiden itu kepada bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh, Subkhiddin mengakui Hong Wan sepatutnya dilayangkan kad merah.

"Merujuk kepada insiden di dalam video, soalannya, adakah cabaran yang dilakukan Blue-6 (Hong Wan) membahayakan keselamatan lawannya sebelum dikategorikan sebagai 'serious foul play'?

"Pemerhatian saya, Blue-6 berlari dari satu jarak dan melakukan aksi 'sliding tackle' pada kelajuan tinggi serta gagal mengawal badannya yang terus 'menggelongsor' dan menyebabkan 'force' berterusan di 'point of contact' lawannya.

"Kaki Blue-6 lurus dan penggunaan stud adalah jelas semasa terjahan dilakukan. Saya berpendapat Blue-6 bersalah untuk kesalahan 'serious foul play' dan kad merah sepatutnya diberikan," kata Subkhiddin menjawap pertanyaan penyokong menerusi akaun Twitternya.

Malah, Subkhiddin turut menjelaskan insiden itu menerusi Undang-Undang 12 membabitkan kesalahan dan salah laku dalam Undang Undang Bolasepak 2022/23 pada muka surat 106.

"Terjahan ataupun cabaran yang membahayakan keselamatan pemain lawan ataupun cara permainan yang terlalu berlebihan ataupun ganas wajar dianggap sebagai kesalahan yang serius (serious foul play).

"Mana mana pemain yang melakukan terjahan untuk mendapatkan bola daripada depan, tepi ataupun belakang menggunakan satu ataupun dua kaki secara berlebihan dan membahayakan keselamatan pemain lawan adalah bersalah atas 'serious foul play'," katanya.

12th August, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved