Baling Batu, Mercun, Suar Bukan Budaya Malaysia

Image of Baling Batu, Mercun, Suar Bukan Budaya Malaysia
ATMOSFERA Liga Malaysia (Liga-M) 2022 kembali hangat dan bergelora dengan insiden keganasan membabitkan segelintir para pemain ke-12 yang memaksa komuniti bola sepak tempatan khasnya dalam kalangan netizen kembali ‘bertempur’ hujah dan fakta menerusi media sosial masing-masing.

Apa tidaknya insiden balingan batu dan mercun selepas perlawanan membabitkan pendahulu Liga Premier, Kelantan FC menentang pasukan bawahan Perak FC di Stadium Sultan Muhammad IV menenggelamkan kejayaan Kedah Darul Aman (KDA) FC mengakhiri cabaran dalam kelompok empat terbaik diikuti kemaraan bersejarah Kuala Lumpur (KL) City FC ke perlawanan akhir Zon ASEAN Piala AFC 2022.

Jauh sekali turut juga menenggelamkan terus aura demi lencana di dada dalam kalangan atlet kontinjen negara yang mencipta sensasi apabila melepasi sasaran pingat ditetapkan di tiga temasya - Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022, Sukan Para ASEAN (APG) 2022 dan Sukan Komanwel Birmingham 2022 baru-baru ini.

Insiden bermula dari tempat duduk penonton sehingga ke tengah padang sebelum melarat ke pekarangan stadium di Kota Bharu pada petang Rabu itu dalam kalangan segelintir penyokong The Red Warriors (TRW) dan The Boss Gaurus (TBG) secara tidak langsung kembali menggamit semula memori balingan suar ketika Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC 3-0 di luar Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dalam saingan Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada 27 Februari lalu.

Namun ia tidak hanya terhenti di situ apabila kemudiannya disusuli pula insiden segelintir penyokong saling bertumbuk selepas tamat perlawanan dua kelab Liga Super, Kuala Lumpur City (KL City) dan Selangor FC dalam Derbi Lembah Klang di luar Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 5 Mac lalu.

Sejujurnya tiga insiden ini tidak seharusnya berlaku dan dibiarkan terus merebak dalam iklim bola sepak tempatan pada ketika pentadbir Liga-M, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sedang dalam usaha menjayakan transformasi Liga Super musim depan yang disertai 18 pasukan.

Pastinya penyertaan 18 pasukan akan menjadikan saingan lebih kompetitif yang menyaksikan setiap pasukan akan beraksi dalam 34 perlawanan berintensiti tinggi Liga Super 2023 berbanding hanya 22 perlawanan sahaja musim ini, sekali gus menjadikan atmosfera dalam kalangan pemain lebih panas dalam menyokong pasukan masing-masing.

Sejumlah 34 perlawanan saingan Liga Super itu tidak termasuk perlawanan membabitkan saingan Piala FA dan Piala Malaysia yang pastinya auranya cukup amat berbeza berbanding aksi liga dengan semangat para pemain ke-12 yang sanggup ‘berawayday’ dan ‘berchant’ terutama ketika meniti fasa kalah mati.

Dalam aksi berintensiti tinggi tidak terkecuali kejuaraan bola sepak berprestij pun tidak dinafikan elemen di tengah padang akan mencuit dan menjentik emosi para pemain ke-12 sehingga mengundang amarah yang marah.

Dalam perkara ini, seharusnya kedua-dua pasukan perlu lebih bijak mendisiplinkan para penyokong masing-masing kerana setiap insiden yang membabitkan golongan itu tidak hanya akan memberi impak besar kepada kelab apabila dikenakan tindakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau MFL, tetapi juga imej buruk kepada bola sepak negara.

Para pemain ke-12 pula tidak seharusnya meletakkan hukuman di tangan sendiri apabila berdepan provokasi melampau sehingga hilang pertimbangan dan kewarasan yang boleh mendatangkan kecederaan kepada penyokong tuan rumah dan pelawat yang mahu menikmati perlawanan bola sepak.

Pada masa sama, FAM dan MFL juga perlu lebih tegas dan proaktif mengadakan perbincangan serta kerjasama pelbagai sudut dengan pihak berkuasa dalam penambahbaikan membanteras keganasan dalam kalangan segelintir penyokong ini

Semua harus ingat bahawa semua jenis sukan terutamanya bola sepak pada penghujung perlawanan bukan sekadar mencari pasukan membawa pulang tiga mata atau menjulang trofi kejuaraan, sebaliknya lebih daripada itu iaitu penyatuan jiwa untuk bangkit bersama demi nusa dan bangsa.

13th August, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved