Final Piala FA Diadili Pengadil Import?

Image of Final Piala FA Diadili Pengadil Import?
Kuala Lumpur: Adakah pengadil asing bakal mengadili perlawanan akhir Piala FA membabitkan Terengganu FC menentang Johor Darul Ta'zim (JDT)?

Persoalan itu bertiup kencang ketika ini apabila terdapat andaian perlawanan akhir Piala FA bakal diadili pengadil jemputan bagi mengelak timbulnya rasa tidak puas hati penyokong bola sepak tanah air.

Walaupun ketika ini tiada lagi kata putus mengenai siapa yang bakal mengadili perlawanan itu, berdasarkan kepada rekod terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjemput pengadil dari Jepun bagi mengawal aksi membabitkan Kedah menentang Perak pada 2019.

Pengadil itu adalah Takuto Okabe dibantu dua rakannya iaitu Akane Yagi dan Osamu Nomura, sekali gus perlawanan terbabit mendapat maklum balas positif daripada penyokong bola sepak tanah air.

ni kerana, Akane dilihat cemerlang apabila tegas mengenakan hukuman selain tidak termakan 'lakonan' pemain di atas padang.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundram ketika dihubungi Arena Metro memaklumkan individu yang bakal mengadili perlawanan terbabit belum diputuskan lagi.

Beliau berkata, walaupun terdapat cadangan daripada pihak tertentu supaya menggunakan pengadil import, perkara terbabit perlu dibincangkan bagi mendapat persetujuan semua pihak.

"Beri masa kepada kami untuk membincangkan perkara terbabit. Mungkin dua atau tiga hari lagi keputusan siapa akan mengadili perlawanan akhir Piala FA akan diumumkan.

"Pada saya, pengadil tempatan tidak kurang hebat dan berkelayakan. Jadinya, tiada masalah jika mereka mengadili perlawanan akhir itu," katanya.

13th August, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved