Insiden Terjahan Hong Wan, Adili Sebaiknya

Image of Insiden Terjahan Hong Wan, Adili Sebaiknya
Kuala Lumpur: Insiden terjahan keras pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Hong Wan ke atas pemain Terengganu FC, Syafik Ismail perlu diadili sebaiknya bagi memulihkan kepercayaan peminat bola sepak tanah air terhadap pengadil Liga Malaysia (Liga M).

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa berkata, pasukan Terengganu boleh membuat aduan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi menilai semula keputusan pengadil perlawanan yang langsung tidak memberikan sebarang layangan kad di atas insiden itu.

Jelasnya, walaupun ia mungkin tidak dapat mengubah keputusan perlawanan, setidak-tidaknya pengadil terbabit boleh dikenakan amaran bagi meningkatkan mutu pengadilannya selain menjaga integriti dan imej badan pengadilan di negara ini.

"Terengganu boleh buat laporan rasmi untuk meminta FAM menerusi Jawatankuasa Pengadil meneliti semula insiden terbabit.

"Ia penting bukan saja untuk mengesan kekurangan dibetulkan (dengan menghantar kursus tambahan), bahkan ia juga mengenai reputasi badan pengadil di negara ini.

"Persepsi peminat terhadap pengadil sering dipertikaikan, lebih-lebih lagi apabila ia babitkan perlawanan pasukan JDT.

"Sekarang ini, bila ada perlawanan JDT saja, mesti peminat akan tertumpu kepada pengadil dan seolah menunggu-nunggu kesilapan, bukannya permainan di atas padang," katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan bekas pengadil bertaraf Fifa, Subkhiddin Salleh menganggap sepatutnya JDT beraksi dengan 10 pemain dalam aksi Liga Super antara JDT dan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Rabu lalu.

Jelas tenaga pengajar bahagian teknikal pengadil Fifa itu, terjahan keras Hong Wan ke atas Syafik Ismail pada minit ke-75 sepatutnya berakhir dengan layangan kad merah sekali gus pelawat bakal kekurangan pemain berbaki 15 minit aksi itu.

Menurut Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu lagi, pengadil tempatan seolah sudah terkena 'sindrom keyakinan' yang pernah berlaku di saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum ini.

"Dulu di EPL ketika zaman kemuncak Manchester United, pengadil sering dilihat memihak kepada kelab itu. Ia disebabkan ketika itu Alex Ferguson cukup lantang mengkritik pengadil hingga wujud sindrom terbabit.

"Di negara ini juga seolah ada sindrom sama dalam kalangan pengadil tempatan. Tetapi ia sebenarnya berbalik kepada pengadil itu sendiri.

"Contohnya ketika final Piala Malaysia musim lalu, pengadil (Razlan Joffri Ali) berjaya menjalankan tugasnya biarpun KL menang ke atas JDT. Jadi seorang pengadil perlu persiapkan diri sebaiknya dan perlu fokus sepanjang perlawanan," katanya.

13th August, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved