Nafuzi Sambut Baik Final Piala FA 10 September

Image of Nafuzi Sambut Baik Final Piala FA 10 September
Kuala Lumpur: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menyambut baik tarikh final Piala FA pada 10 September ini, sambil menyifatkan pasukan mempunyai masa mencukupi untuk melakukan persediaan.

Semalam, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan aksi final TFC menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 10 September ini.

Jelas Nafuzi, keputusan yang dibuat itu pastinya menggembirakan penyokong TFC yang cukup teruja untuk hadir ke stadium yang mampu memuatkan sehingga 80,000 penonton ini.

Katanya, tempoh masa yang ada ketika ini pastinya akan memberikan ruang mencukupi buat juara Piala FA 2011 itu melakukan segala persiapan untuk menentang JDT yang pastinya akan menjadi perlawanan cukup sengit.

"Satu berita baik sebab pasukan, pemain serta penyokong memang tertunggu-tunggu keputusan ini, jadi sekarang kita sudah dapat tarikh dan akan bersedia menjelang tarikh itu.

"Cuma sekarang kita boleh fokus dekat Liga Super terlebih dahulu sebab ada beberapa aksi sebelum final Piala FA.

"Tapi bila sudah ada tarikh, penyokong senang untuk menguruskan perjalanan mereka dan boleh buat apa-apa perancangan lebih awal.

"Pertemuan JDT dan TFC ni memang menarik dan keterujaan daripada penyokong memang dinantikan sebab kali terakhir kita ke final 11 tahun lalu, jadi inilah suasana ditunggu-tunggu," katanya.

Skuad Penyu mara ke pentas final selepas menewaskan Selangor FC menerusi penentuan penalti 4-2 selepas terikat 1-1 dalam 120 minit.

Manakala JDT pula membelasah Penang FC dengan 6-1, sekali gus berpeluang mengulangi kejayaan menjulang trofi itu pada 2016 lalu.

18th August, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved