Selangor Terus 'Gigit Jari' Tewas Kepada Terengganu FC

Image of Selangor Terus 'Gigit Jari' Tewas Kepada Terengganu FC
PETALING JAYA – Rentak sumbang pasukan Selangor FC berterusan selepas tewas 0-2 kepada Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium MBPJ sebentar tadi.

Pada aksi tersebut, skuad Gergasi Merah tampil buat pertama kali dengan sentuhan pemangku ketua jurulatih tempatan, Mohd, Nidzam Jamil yang menggantikan posisi Michael Feichteinbeiner minggu lalu.

Mohd. Nidzam mempertaruhkan kesebelasan terbaik dengan pemain import, Herlison Caion dan Norhakim Hassan mengetuai jentera serangan pasukan.

Namun, pasukan TFC kendalian Nafuzi Zain dilihat lebih garang dengan meraih jaringan pembukaan hasil ledakan dari luar kotak penalti yang dilakukan Habib Haroon pada minit ke-13.

Tersentak dengan itu, Selangor berusaha memperkemaskan jentera serangan tetapi peluang keemasan yang diraih Mukhairi Ajmal pada minit ke-16 tidak menepati sasaran.

Skuad Sang Penyu semakin ghairah apabila berjaya menambah gol kedua menerusi tandukan Manuel Ott selepas menerima hantaran cantik daripada Faisal Halim pada minit ke-39.

Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi keputusan perlawanan yang disaksikan lebih 2250 penonton itu kekal memihak kepada pasukan pelawat.

Keputusan tersebuy menyaksikan Selangor menduduki tangga ke-9 liga dengan mengutip 16 mata berbanding TFC di tempat ke-4 dengan 23 mata.

18th August, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved