Penyu buat Tok Gajah Menangis di Laman Sendiri

Image of Penyu buat Tok Gajah Menangis di Laman Sendiri
KUANTAN: Sri Pahang FC gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila tunduk 1-2 kepada Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, di sini, sebentar tadi.

Kekalahan itu sekali gus juga memadamkan rekod lima perlawanan tanpa tewas skuad Tok Gajah sebelum ini.

Pada perlawanan berkenaan, pelawat lebih banyak menguji benteng tuan rumah terutama menguasai 15 minit pertama perlawanan.

Ia bermula dengan percubaan dari luar kotak penalti oleh Habib Haroon yang berjaya ditepis penjaga gol Sri Pahang, Mamadou Samassa seawal minit kelima.

Pada minit ke-13, kapten TFC, Tchetche Kipre turut berpeluang menjaringkan gol pendahuluan tetapi bola terus ke dakapan Samassa.

Selang seminit, Nik Muhammad Shariff Haseefy Mohd Lazim pula mempunyai peluang sama untuk membolosi gawang tuan rumah tetapi mudah diselamatkan Samassa.

Peluang terbaik Sri Pahang hadir pada minit ke-19, tetapi tendangan kapten pasukan, Muslim Ahmad melepasi palang biarpun berdepan gawang lawan.

Seminit bersambung babak kedua, rembatan kencang pemain import dari Argentina, Manuel Hidalgo dalam kotak penalti meletakkan tuan rumah mendahului TFC 1-0.

Namun pada minit ke-72, kerja keras TFC untuk mencari gol penyamaan berhasil menerusi cubaan Habib untuk kedudukan 1-1. Pada minit ke-87, Petrus Shitembi menceriakan penyokong TFC apabila menjaringkan gol kedua buat pasukan itu.

Sri Pahang harus menyalahkan diri sendiri kerana gagal memberikan tekanan kepada TFC yang akhirnya terpaksa akur terlepas tiga mata di halaman sendiri.

22nd August, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved