Terengganu Lebur Rekod Sri Pahang

Image of Terengganu Lebur Rekod Sri Pahang
KUANTAN: Rekod tanpa kalah lima perlawanan Sri Pahang dalam aksi Liga Super lebur apabila tewas 1-2 kepada Terengganu di Stadium Darul Makmur di sini malam tadi.

Jaringan Petrus Shitembi tiga minit sebelum tamat perlawanan memusnahkan impian Tok Gajah untuk sekurang-kurangnya berkongsi satu mata dengan skuad Penyu.

Menguasai perlawanan dalam keadaan padang basah kerana hujan petang tadi nyata memaksa benteng pertahanan Sri Pahang terutama kepten pasukan, Muslim Ahmad bekerja keras membantu Momadou Samassa mengawal gawang.

Seawal minit keempat, Terengganu sudah mencuba menembusi gawang Sri Pahang melalui sepakan deras Habib Haroon Saaed yang tetapi ditepis keluar Samassa.

Berselang satu minit, Terengganu sudah boleh mendahului Sri Pahang tetapi ketangkasan Samassa mengawal pintu gol tuan rumah sekali lagi mengecewakan pelawat.

Kehadiran lebih 10,000 penyokong Sri Pahang turut memberi semangat untuk anak buah Datuk Dollah Salleh turut melancarkan beberapa siri serangan balas.

Dua peluang terbaik muncul termasuk melalui Muslim yang menyepak bola melepasi palang gol walaupun gawang gol terbuka berikutan penjaga gol Terengganu, Mohd. Rahadiaazli Rahalim sudah tertewas.

Begitu juga mesin gol Sri Pahang, Steven Rodriguez, walaupun ada peluang, tetapi gagal menambah koleksi jaringan peribadi sehingga tamat separuh masa pertama.

Seminit separuh kedua bermula, Manuel Hidalgo menggamatkan Stadium Darul Makmur melalui jaringan cantik dari dalam kotak penalti pelawat.

Semangat tidak putus ada skuad Penyu akhirnya membuahkan hasil apabila Habib Haroon akhirnya berjaya menewaskan Samassa pada minit ke-72 untuk Terengganu mendapat gol penyamaan 1-1.

Selepas gol penyamaan itu, Terengganu meneruskan asakan ke gawang tuan rumah dan Shitembi menjadi pemusnah Sri Pahang menerusi jaringannya minit ke-87.

22nd August, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved