JDT Sudah Tempah Gomez

Image of JDT Sudah Tempah Gomez
Kuala Lumpur: Senjata baharu Johor Darul Ta'zim (JDT) seolah-olah nampaknya sudah mula 'ditempah' bagi saingan musim depan.

Ia selepas pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik gambar bersama penyerang Argentina, Papu Gomez di laman Instagram miliknya, hari ini.

Sabtu lalu, Tunku Ismail memberi bayangan penyerang Argentina yang membantu negaranya menjulang Piala Copa Amerika pada tahun lalu itu kini berada dalam radar skuad Harimau Selatan.

Dalam gambar dikongsikan itu, Tunku Ismail bertukar jersi bersama Gomez yang kini beraksi bersama kelab Sepanyol, Sevilla.

Malah, Gomez turut berkongsi gambar yang dimuat naik Tunku Ismail itu di laman Instagram miliknya sambil mengucapkan terima kasih kepadanya.

"Terima kasih atas perhatian dan layanan yang diberikan," tulis Gomez.

Untuk rekod, Gomez kini beraksi di LaLiga bersama kelab Sevilla dan sudah meledak lapan gol dalam 47 penampilan buat kelab itu.

Kehadiran pemain lincah ini sudah pasti akan menambah kekuatan skuad Harimau Selatan itu, apatah lagi mempunyai pengalaman luas pernah beraksi di pentas tertinggi Eropah.

Pada Jun lalu, JDT turut menandatangani bekas pertahanan Swansea City di Liga Perdana Inggeris (EPL), Jordi Amat dan kehadiran Gomez pastinya memberi keseimbangan buat juara lapan kali berturut-turut Liga Super itu.

9th August, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved